Thursday, February 21, 2008

Kenapa kita kurang maju?

Assalamualaikum.


Kenapa kita kurang maju? Inilah persoalan yang ingin saya huraikan berdasarkan pendapat saya dan pemerhatian saya sendiri.

Mula-mula sekali, marilah kita sama-sama lihat atau cermin diri kita sendiri, adakah kita sudah maju? Istilah maju di sini bukanlah dari sudut materialisasi sahaja. Kita perlu lihat dari pelbagai sudut seperti dari sudut sosialnya, material, keagamaan dan lain-lain. Kalau kita rasa kita sudah mencapai kemajuan dari segi harta benda, bagaimana dengan tingkahlaku kita, personaliti kita, sikap kita? Adakah kita ini sentiasa disenangi oleh semua rakan-rakan ataupun orang yang berada di sekeliling kita ini?

Bagi menjawab persoalan ini, amatlah penting bagi kita untuk menilai diri kita dengan jujur. Jika tidak mampu untuk menilai diri sendiri, mintalah bantuan daripada rakan-rakan ataupun orang yang kita rasa mudah untuk dekati dan bersama. Dengan adanya insan kedua ini, mintalah bantuan mereka untuk menilai diri kita sendiri. Tanyalah mereka tentang personaliti kita dan mintalah setiap perkara pro dan consnya. Mungkin kita akan terasa sedikit kecewa dengan pendapat yang kita peroleh. Tetapi, janganlah cepat melatah. Jangan cepat menunding jari kearah perkara yang lain untuk mengelak daripada menerima pendapat berkenaan. Positive thinking. Inilah perkara pertama yang ingin saya tekankan dalam coretan kali ini.

Kebanyakan individu tidak mahu mengalah. Mereka sentiasa mencari alasan untuk diri mereka sendiri walaupun kadangkala mereka sendiri telah buntu. Menegakkan sesuatu yang tidak sepatutnya ditegakkan. Mengapa tidak mengalah sahaja? Orang yang melakukan kesilapan dan mengaku dengan kesilapannya adalah manusia biasa. Tetapi, orang yang menegakkan kesilapannya bukanlah umat manusia yang berkualiti. Dia tidak mahu mengalah semata-mata bimbang kredibilitinya terjejas. Misalnya seseorang itu mendapat kritikan tidak romatik. Apa jawabnya? "Erm, suasana xbest la. Ramai orang, kelam-kabut sangat. Camne nak romantik." Cuba kita fikir, mengapa perlu disalahkan suasana, orang lain? Sedangkan diri sendiri memang tidak romatik. Untuk maju, tentulah kita perlu melakukan perubahan. Sikap sebeginilah yang menghalang kita untuk berubah. Kita terlalu confident bahawa kita selalunya betul.

Kita pergi ke situasi yang lebih terbuka. Misalnya, perancangan majlis. Pelbagai idea dikeluarkan semasa mesyuarat. Ada ahli yang mengeluarkan pendapat untuk menjemput band terkenal. Mungkin ade sesetengah pihak yang berpendapat seperti ini. "Erm, susahla. Nak kena contact pengurus band tu la. Pastu nanti, nak ke diorang datang ke majlis kita ni. Bayaran camne, mesti mahal punye. Dahla majlis kita ni kecil-kecilan je." Mengapa perlu berfikiran seperti ini. Kalau pemikiran seperti ini ada, alamatnya tak jadilah majlis berkenaan. Setiap perkara dalam dunia ini ada kemungkinannya. Terpulang kepada individu untuk memikirkan setiap kemungkinannya dari mana-mana sudut. Namun, pemikiran dari sudut negatif seperti yang dicontohkan dia atas sudah semestinya akan mencacatkan setiap perancangan. Jadi, bagaimana nak maju kalau fikir negatif sahaja? Saat inilah kita perlu mengubah diri kita sendiri. Think positively. Bak kata moto jenama sukan, impossible is nothing. Semua perkara boleh dicapai jika usahanya cukup dan bertepatan. Kalau dirujuk situasi sebentar tadi, lebih elok jikalau hubungi sahaja pengurus band berkenaan dan lihat pada budi bicaranya. Tentu keputusan yang lebih baik dapat dicapai. Tidajk perlulah berfikir terlalu panjang.

Tamadun tidak akan berdiri dengan sendirinya tanpa pemimpin. Tugas sebagai pemimpin bererti membawa tanggungjawab yang amat tinggi. Istilah pemimpin ini bukan sahaja merujuk kepada pemimpin seperti Perdana Menteri, wakil rakyat atau bos di pejabat. Setiap manusia dilahirkan untuk menjadi pemimpin. Paling mudah sekali ialah pemimpin kepada diri sendiri, kemudian keluarga, rakan-rakan dan seterusnya. Untuk menjadi pemimpin yang baik, istilah bertanggungjawab perlu ada dalam diri setiap umat manusia. Sikap seperti, "Nantilah! Kejapla! Sat agi! Lepas ni la! Besok la!" perlu dikikis dalam diri kita. Sikap seperti inilah yang membawa kepada penyakit manusia iaitu lupa. Jangan sesekali menangguhkan kerja kita. Penangguhan akan menyempitkan lagi masa kita, bukannya dapat melegakan masa kita. Mungkin kita akan berasa sedikit lega, tetapi hanya untuk seketika.

Jadi, marilah kita bersama-sama melakukan perubahan terhadap diri kita sendiri. Kupasan tajuk ini akan saya sambung kemudian.

No comments: